GEORGE TOWN, 31 Dis – Peniaga-peniaga di Pangkalan Raja Tun Uda di sini bimbang dengan nasib mereka, selepas operasi feri untuk pejalan kaki dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) mulai esok.
Peniagaan mereka dikhuatiri kehilangan pelanggan apabilia tiada lagi pejalan kaki akan menggunakan laluan pejalan kaki di pangkalan berkenaan, selepas operasi feri berpindah.
Seorang peniaga kedai runcit Mohamad Salihu Abdul Rahuman, 60, yang mewakili semua peniaga di kawasan itu berkata, beliau telah menulis surat kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk mengetahui nasib peniagaan mereka, dan memohon untuk ditempatkan di SPCT, tetapi sehingga hari masih belum ada maklum balas.
Katanya, tempat ini akan menjadi laluan ‘mati’, tiada lagi pelanggan akan ke sini jadi bagaimana dengan peniaga-peniaga yang ingin meneruskan perniagaan dan mencari rezeki di sini.
“Kami telah menghantar surat kepada PPSB pada 23 Dis lepas dan masih menunggu keputusan daripada mereka. Kami berharap pihak PPSB akan berbesar hati untuk menempatkan kami di SPCT,” katanya kepada pemberita ketika di temui hari ini.
Bermula 1 Jan, perkhidmatan bot laju akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri ikonik, yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri ini.
Feri sedia ada pula hanya akan digunakan bagi penunggang basikal dan motosikal sehingga Julai 2022, manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Jan 2021.
Peniaga biskut Chew Soo Peng, 45, berkata keluarga beliau telah berniaga lebih 40 tahun di Pangkalan ini dan agak sedih mendapat tahu bahawa feri tidak lagi akan membawa penumpang pejalan kaki lagi.
Katanya, disebabkan sewa yang berpatutan dan adanya pengguna feri, peniagaan ini dapat kekal sehingga hari ini.
“Kami (peniaga situ) baharu sahaja mahu memulakan kembali perniagaan selepas terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini ditimpa pula dengan operasi feri berpindah dan tempat ini tidak lagi dikunjungi orang ramai,” katanya.
— BERNAMA