Kuantan: Seorang pengurus projek mendakwa kerugian RM24,180 selepas diperdaya dua individu supaya melabur dalam pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa mengenali seorang wanita di Facebook yang menawarkan pelaburan menerusi sebuah syarikat pada pertengahan Mac lepas.
Beliau berkata lelaki itu pada mulanya ditawarkan untuk melabur dengan membeli syer berharga RM130 seunit yang akan dilaburkan di luar negara, dan dia kemudiannya telah membuat tiga pelaburan dengan tiada keuntungan diperoleh.
”Kemudian pada Mei lepas, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang menawarkannya pelaburan sama, di mana dia telah melabur sebanyak lima kali, juga dengan keuntungan yang tidak diperoleh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini,
Menurutnya semua pelaburan berjumlah RM24,180 itu dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu atas nama syarikat berkenaan.
”Lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam kes berasingan, juga di IPD Kuantan, seorang agen pengangkutan berusia 29 tahun mendakwa mengalami kerugian RM3,618 juga kerana melabur dalam pelaburan yang tidak wujud.
Mohd Wazir berkata pengadu mendakwa melihat iklan pelaburan itu di Facebook pada 9 Jun lepas sebelum diberitahu mengenai empat pelan yang kononnya ditawarkan pelaburan itu menerusi aplikasi Whatsapp.
”Pengadu telah menyertai dua pelan iaitu pelaburan bagi memperolehi masing-masing RM4,500 dan RM14,200 dalam masa dua hari selepas melabur RM500 dan RM1,500.
”Pengadu membuat tiga kali pindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM3,618 ke sebuah akaun termasuk dengan wang jaminan, namun keuntungan tetap tidak diperoleh,” katanya.
— BERNAMA