SEREMBAN, 8 Dis (Bernama) — Seorang pengurus kilang berputih mata apabila kerugian RM91,250 selepas terperdaya iklan jualan kereta import dari negara jiran menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata lelaki berusia 50 tahun itu tertipu dengan iklan tersebut yang menawarkan penjualan kereta dari Singapura dan telah berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp pada 10 Ogos lepas.
“Mangsa menyatakan minat untuk membeli kenderaan jenis Audi A4 dengan harga ditawar RM20,000 tetapi kemudian diarahkan untuk membuat bayaran insurans, cukai kastam dan sebagainya.
“Lelaki berkenaan bersetuju membeli kereta tersebut dan membuat transaksi bayaran sebanyak 24 kali secara berperingkat ke beberapa akaun berbeza bermula 17 Ogos sehingga 27 Nov lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aibee berkata setelah bayaran dibuat, suspek masih lagi meminta wang tetapi lelaki itu tidak lagi mengikut arahan tersebut kerana mengesyaki telah ditipu dan sehingga kini masih belum menerima kenderaan seperti dijanjikan.
Katanya mangsa membuat laporan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: BERNAMA