
Delhi, 17 April – Seorang penghantar pizza di sini disahkan positif COVID-19 setelah menunjukkan simptom dijangkiti koronavirus itu selama 20 hari.
Berikutan itu, pihak berkuasa tempatan telah mengenalpasti 72 buah keluarga yang pernah dikunjunginya untuk membuat penghantaran dan diarah menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing.
Selain itu, seramai 17 penghantar pizza yang juga rakan setugas pesakit berkenaan turut menjalani proses kuarantin.
Pemilik khidmat penghantaran makanan, Zomato berkata, mereka tidak pasti sama ada pesakit dijangkiti ketika penghantaran.
Mereka turut mendakwa telah mengingatkan semua penghantar makanan agar memakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika penghantaran.
Tambah syarikat itu, kesemua penghantar makanan yang menjadi kontak rapat pesakit telah disahkan negatif COVID-19.
Delhi dilaporkan menjadi kawasan kedua paling tinggi kes koronavirus di India selepas Maharashtra. Seramai lebih 1,500 penduduk telah disahkan positif COVID-19 setakat ini.
Sumber: India Times