Susulan dakwaan pemberian dos yang kurang bagi vaksin AstraZeneca di World Trade Centre Kuala Lumpur (WCTKL) yang mula tular di sosial media 20 Mei lalu, Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba mengeluarkan satu kenyataan akhbar berkait isu tersebut.
KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd sedang membuat siasatan mengenai perkara ini, kata Dato’ Sri Dr Adham dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sebagai langkah memastikan kualiti pengendalian vaksin AstraZeneca untuk COVID-19 berada pada tahap optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan arahan tambahan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca.
Penyuntik vaksin perlu menunjukkan jarum yang telah diisi dengan vaksin mengikut kuantiti yang ditetapkan kepada penerima vaksin, sebelum melakukan suntikan.
Penyuntik vaksin juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang telah dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan.
Penambahbaikan dalam SOP pemberian vaksin ini akan diperluaskan ke semua PPV yang lain. Di samping itu, pemantauan rapi terutamanya di PPV akan dipertingkatkan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.
KKM akan sentiasa memastikan Program Pemberian Vaksin AstraZeneca dilaksanakan dengan jayanya dan selamat untuk penduduk Malaysia.
Sumber: KKM