Pengeluaran Roti Massimo Tergendala Sementara Susulan Kebakaran Paip Gas
The Italian Baker Sdn Bhd memaklumkan bahawa operasi penghasilan produk roti Massimo kini mengalami gangguan sementara susulan kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, syarikat itu berkata bekalan gas LNG ke kilang mereka telah digantung sementara waktu oleh pembekal. Dalam masa sama, kerja-kerja pemulihan berkaitan bekalan gas tersebut sedang dijalankan oleh pihak pembekal.
“Disebabkan situasi ini, ketersediaan produk roti kami di kedai mungkin akan terhad buat sementara waktu bermula 4 April sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Kami amat menghargai sokongan anda dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul,” kata syarikat itu dalam kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, kemas kini mengenai situasi terbabit akan dikongsi di laman media sosial rasmi Roti Massimo.
“Untuk sebarang pertanyaan segera, sila hubungi Khidmat Pelanggan kami di 1-800-22-6688. Terima kasih atas kesabaran dan sokongan berterusan,” katanya lagi.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April yang telah mengakibatkan kerosakan pada kediaman penduduk. Ia juga telah menyebabkan ratusan penduduk cedera.
Kedua-dua badan kerajaan dan NGO turun padang menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada keluarga mangsa bagi mendapatkan rawatan secepat mungkin serta penempatan tempat tinggal sementara waktu.
Terbaru, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bersetuju untuk menawarkan lebih 100 unit rumah sementara kepada mangsa tragedi terbabit.
Difahamkan, sebahagian lokasi terletak di Kota Warisan, Sepang manakala sebahagian lagi akan diumumkan kelak dengan menggunakan skim SMART Sewa Selangor.
Dalam sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, beliau juga berkata 25 mangsa akan menerima kenderaan sementara daripada Chery Malaysia untuk kegunaan selama sebulan bermula hari ini.
Sumber: Facebook Massimo Bread