Pengasuh Warga Thailand Ditahan Dipercayai Dera Bayi

Edayu

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Seorang pengasuh warga Thailand ditahan hari ini dipercayai mendera seorang bayi perempuan berusia enam bulan di bandar raya ini, 14 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata wanita berumur 29 tahun itu didapati sudah berkahwin dengan seorang lelaki warga tempatan.

“Pada 14 Mac lepas, polis menerima satu laporan mengatakan seorang bayi perempuan berumur enam bulan disyaki didera oleh pengasuh warga Thailand.

“Mangsa (bayi) mengalami lebam dan bengkak di anggota badan serta pendarahan kecil di dalam kepala,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata bayi itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya pengasuh itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

— BERNAMA