Pengasas perisian antivirus, John McAfee dilaporkan telah ditemui mati di dalam selnya di sebuah penjara pada Rabu.
Berusia 75 tahun, McAfee sedang menunggu ekstradisi di penjara Sepanyol setelah dituduh mengelak untuk membayar cukai di Amerika Syarikat pada tahun lalu.
Memetik laporan CNN Philippines, seorang pegawai perubatan berada di tempat kejadian dan punca kematian sedang disiasat.
Pada awal hari Rabu, panel tiga hakim di Mahkamah Nasional Sepanyol di Madrid memutuskan bahawa McAfee perlu diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan di sana.
McAfee ditangkap di Sepanyol pada bulan Oktober tahun lalu setelah didakwa di Amerika Syarikat kerana pengelakan cukai beberapa bulan sebelumnya.
Dia didakwa gagal memfailkan cukai selama empat tahun walaupun memperoleh jutaan pendapatan di antara tahun 2014 dan 2018.
Sumber: CNN Philippines