
Pengarah JPS Perlis Meninggal Dunia
KANGAR, 12 Dis (Bernama) — Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Mahidi Mahamood, 55, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada pukul 2.40 petang hari ini.
Anak sulungnya Muhammad Aiman Faris, 29, berkata bapanya sebelum itu ditidurkan kira-kira pukul 11 pagi tadi, selepas dimasukkan ke hospital itu pada pukul 9 malam tadi disebabkan sakit jantung dan buah pinggang serta jangkitan paru-paru.
“Ayah ditidurkan selepas doktor memberitahu bahawa oksigen ayah semakin menurun, doktor memaklumkan ayah berada dalam keadaan kritikal.
Jadi saya dan keluarga berkumpul di Hospital Kangar ini, dan masih menunggu tiga lagi adik-beradik saya yang bergegas pulang dari Seremban dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik HTF hari ini.
Muhammad Aiman Faris berkata jenazah bapanya itu dijangka akan dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Abi Kampung Tengah, Kangar.
Sumber: BERNAMA