
JOHOR BAHRU, 25 September 2024 –Cuaca ekstrem, peningkatan suhu global dan perubahan taburan hujan telah menyebabkan gangguan besar terhadap sektor pertanian dan pengeluaran makanan. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan ketersediaan makanan, tetapi juga mencabar keselamatan makanan negara dari segi pengeluaran, pengedaran dan penyimpanan.
Bagi membincangkan isu ini dan mencari solusi dalam mengatasi cabaran perubahan iklim yang serius, Agensi Nuklear Malaysia telah menganjurkan Seminar Keselamatan Makanan kali ke-11 dengan tema “Mencapai Kelestarian Makanan di Era Perubahan Iklim”.
Seminar ini membincangkan pelbagai topik berkaitan keselamatan makanan, pengurusan kualiti, aspek halal, undang-undang, teknologi pemprosesan dan analisis, serta masa depan industri makanan. Penganjuran seminar ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan memperkukuh daya tahan sektor makanan negara, seiring dengan cabaran yang dihadapi akibat perubahan iklim.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia dalam ucapannya menyebut bahawa “kombinasi teknologi nuklear, dasar yang kukuh dan inovasi dalam pertanian adalah kunci untuk mencapai kelestarian makanan, walaupun di tengah cabaran perubahan iklim yang semakin kritikal.
Inisiatif Atoms4Food yang disokong oleh IAEA membuka peluang besar untuk memperkukuh keselamatan makanan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.” Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan trend amalan dan penggunaan semasa, pengeluaran pertanian dijangka meningkat kira-kira 70% pada tahun 2050 untuk memenuhi permintaan makanan masa hadapan.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, Malaysia perlu mengukuhkan infrastrukturnya dengan mengetengahkan teknik nuklear yang inovatif seperti pembiakan mutasi tumbuhan untuk menghasilkan varieti tanaman baharu dan benih yang lebih baik, serta penanda molekul untuk pencirian makanan dan pemantauan terperinci keadaan tanah serta alam sekitar yang terjejas akibat perubahan iklim.
Selain itu, Teknik Serangga Mandul (SIT) digunakan untuk mengawal perosak seperti lalat buah, sementara isotop turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Gabungan teknologi ini memastikan sektor pertanian lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Program kali ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Industri turut diwakili oleh Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. yang memberikan sokongan dalam penganjuran seminar ini.
Kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia amat penting dalam memastikan teknologi nuklear dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh keselamatan makanan negara. Program seperti ini adalah langkah penting dan Agensi Nuklear Malaysia terus komited dalam usaha mengarusperdanakan teknologi nuklear dalam sektor pertanian Malaysia khususnya.
Ia juga mampu memperkasa daya tahan sektor makanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks.