Penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur akan diperlihatkan semula oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapor AWANI.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert perlu dibuat semakan baharu oleh pihaknya.
Tambahnya, perkara tersebut adalah untuk memastikan setiap konsert hiburan tidak melampaui batas yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh negatif terutama kepada golongan belia di negara ini.
“Sebab ada juga orang mengadu tentang beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur, tapi dalam masa yang sama kita nak ada kesan yang positif.
“Jadi, (Kementerian) Wilayah ni sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan),” katanya, memetik AWANI hari ini.
Difahamkan, kelulusan permit konsert yang sudah dikeluarkan oleh pihak DBKL namun masih belum diadakan juga termasuk dalam semakan semula berkenaan.
Mengulas lanjut, difahamkan sekiranya penganjuran konsert tersebut memberi impak yang tidak sihat kepada masyarakat, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak.
Shahidan bertegas, hal tersebut termasuklah jika penganjuran konsert berkenaan membabitkan artis-artis terkenal.
Walau bagaimanapun, pihaknya masih belum lagi memutuskan sebarang keputusan bagi penambahbaikan garis panduan tersebut, sebaliknya ia hanya akan ditentukan sebaik sahaja diteliti secara lebih terperinci.
Dalam masa sama, pendekatan ‘tunggu dan lihat’ tidak boleh lagi diamalkan oleh golongan muda di negara ini memandangkan dunia sedang bergerak pantas ke depan dalam pelbagai bidang.
Sebaliknya bagi Shahidan, masa depan bangsa dan negara pastinya akan ditentukan oleh belia yang mempunyai asas jati diri sebagai panduan landasan hidup.
“Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’,” katanya lagi.
Shahidan berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 (HBN 2022) di Dataran Astaka, Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Sumber: Awani