ARAU, 19 Mei (Bernama) — Lapan orang penganggur dipercayai penagih dadah ditahan di sebuah rumah di Kampung Guar Sanji dalam serbuan 7 pagi tadi.
Seorang daripada suspek yang ditahan menggunakan rumah mak saudaranya yang menetap di ibu negara sebagai ‘port’ untuk melepaskan gian dadah dan membungkus daun ketum sejak dua bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof berkata kesemua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an itu membawa masuk bekalan daun ketum dari Naka, Kedah menerusi jalan tikus sebelum ia diseludup ke negara jiran.
“Bertindak atas maklumat orang ramai polis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis melakukan serbuan di Kampung Guar Sanji kira-kira 7 pagi tadi.
“Hasil serbuan, polis merampas daun ketum seberat satu tan dengan nilai rampasan dianggarkan RM50,000 dan dadah jenis syabu seberat kira-kira tiga gram yang diguna untuk kegunaan suspek sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata seramai lima lelaki ditahan semasa serbuan dilakukan, manakala tiga lagi suspek ditahan ketika berkunjung ke rumah berkenaan.
Nanda berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: BERNAMA