Penerus Legasi, Anak Sharifah Khasif Johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Kebangsaan
Nama Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif begitu gah dan disanjungi dalam dunia Tilawah Al-Quran.
Mengikut jejak langkah ibunya, anak perempuan kepada personaliti agama ini, Abeer Widad yang berusia 10 tahun pula bergelar Johan bagi pertandingan Tilawah Al-Quran di Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS), Selasa lalu.
Berita gembira berkenaan dikongsi beliau menerusi satu muat naik di laman Instagram peribadi miliknya.
“Alhamdulillah syukur atas izin-Nya, anakanda Abeer berjaya menjadi Johan Kebangsaan Sekolah-Sekolah Malaysia pada usia 10 tahun.
“Rezeki Abeer dah tertulis, yang lain tak kurang hebatnya.
“Insya-Allah semoga legasi Al-Quran tetap terus berkembang sehingga ke akhir hayat,” kongsi beliau.
Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan bagi peringkat Kebangsaan 2025 itu diadakan di Politeknik Merlimau, Melaka bermula 12 Julai hingga 14 Julai 2025.
Menerusi kemas kini yang lain, Ustazah Sharifah Khasif sempat memuat naik sepotong rakaman bacaan merdu anaknya ketika pertandingan.
Beberapa minggu yang lalu, Ustazah Sharifah Khasif menzahirkan rasa syukurnya apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H.
Menurut Bernama, bekas juara pertandingan tilawah di peringkat kebangsaan berkenaan tidak pernah terfikir bakal menerima pengiktirafan setinggi itu.
“Saya ini bukan individu yang hebat, saya hanyalah pencinta al-Quran yang memartabatkan al-Quran. Ini satu pengiktirafan bahawa besarnya keagungan al-Quran, kalau kita angkat dengan seikhlas hati, Allah SWT yang akan mengangkat martabat seseorang itu.
“Sebenarnya anugerah ini adalah untuk ayahanda saya Allahyarham Syed Badiuzzaman, saya masih ingat lagi pesanan beliau apabila kita jadi ahli al-Quran, insya-Allah kita akan dapat apa yang kita mahukan,” ujarnya.
Menjengah perjalanannya dalam dunia Tilawah Al-Quran, ibu kepada dua anak ini pernah dinobatkan sebagai johan tilawah di kedua peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
Malah, beliau juga pernah menjadi qariah terbaik keseluruhan pada tahun yang sama, 2009.
Sebelum itu, beliau pernah mencipta nama sebagai johan tilawah Al-Quran peringkat negeri Perak sebanyak lapan kali semenjak tahun 2000 hingga 2008.
Sumber: Sharifah Khasif (1) (2), Bernama
BACA: Emma Watson Dan Bintang Gandingan “Harry Potter” Dilarang Memandu Oleh Mahkamah Sama
BACA: Ahli Astronomi Saksikan Detik Pembentukan Sistem Suria Buat Kali Pertama