Penerbangan Pulau Pinang – Chengdu : Kerajaan Negeri Akan Susul AirAsia

Aqmal Ezany

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) — Kerajaan Pulau Pinang akan membuat susulan dengan AirAsia tentang cadangan syarikat penerbangan itu untuk mengadakan laluan baharu antara Pulau Pinang dan Chengdu China dalam situasi wabak novel coronavirus yang melanda negara itu sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Yeoh Soon Hin berkata penerbangan terus itu dijadualkan bermula pada 8 Mac.

“Berikutan keadaan terbaharu (tentang coronavirus) kami akan mendapatkan maklumat daripada AirAsia sama ada terdapat sebarang perubahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yeoh terdahulu menghadiri program promosi awal bagi edisi keenam Pesta Belon Panas Pulau Pinang 2020 (HAB2020) di padang polo di sini.

Pada 10 Januari, ketua pegawai eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam satu kenyataan berkata laluan tambahan itu dengan tiga penerbangan mingguan akan meningkatkan kedatangan pelancong ke Pulau Pinang dan sebaliknya.

Sementara itu, Yeoh berkata HAB2020 akan menyediakan topeng muka dan sanitasi tangan untuk orang ramai dalam usaha untuk membendung jangkitan coronavirus dan menambah semua acara mega di negeri itu termasuk yang dianjurkan oleh organisasi swasta harus menyediakannya.

Sumber: BERNAMA