
Penemuan Mayat Lelaki Di Dalam Gaung, Polis Klasifikasi Kes Bunuh
IPOH (Bernama) — Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah pada 12 Julai lalu sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pagi tadi yang mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa dan punca kematian adalah disebabkan multiple blunt trauma akibat dipukul dengan senjata tumpul,” katanya dalam kenyataan semalam.
Johari berkata sehubungan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Beliau berkata polis telah mengambil cap jari mangsa untuk mendapatkan identiti lelaki itu yang ditemukan berkemeja-T dan berseluar pendek hitam dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter di tepi jalan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil di balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222,” katanya.
BACA: Pihak Berkuasa Perlu Siasat Kesahihan Minit Mesyuarat JAC Yang Tular – Fahmi
BACA: Siasatan Ke Atas Pendedahan, Penyebaran Disyaki Minit Mesyuarat JAC – KPN
BACA: Akta JAC Tidak Mengikat Dalam Pelantikan Hakim – Azalina
Sumber: BERNAMA