Gambar: Polis Finistere/Auto Evolution

Penduduk Terkejut Nampak Van Atas ‘Bus Stop’, Ramai Sangka Punca Pemandu Mabuk, Rupanya Ada Sebab Lain

Nur Adnin

Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan sebuah hentian bas kecil di tepi jalan yang ‘berbumbungkan’ sebuah van misteri berwarna putih.

Kejadian yang dirakam berlaku di Plounéventer, bandar Finistere di Perancis itu mengundang persoalan ramai hingga pihak polis terpanggil untuk jalankan siasatan.

Difahamkan, kedudukan van itu sangat membingungkan kerana ia terletak ‘elok’ di atas bumbung tanpa sebarang papan tanda, alat penyokong mahupun petunjuk.

Gambar: Facebook

Justeru, pelbagai teori diperkatakan orang awam dan salah satunya mereka mendakwa ia hanyalah satu strategi pemasaran yang dilakukan pihak tertentu.

Selain itu, ada juga yang mendakwa kejadian pelik itu dilakukan oleh seorang penggiat seni, namun teori itu disangkal polis kerana dianggap tidak logik.

Pihak polis sebaliknya berjaya mengesan pemilik van tersebut, namun tiada maklumat diperolehi kerana individu itu sendiri tidak tahu kenapa van miliknya boleh ada di situ.

Keberadaan van misteri itu telah membingungkan pihak polis sehingga seminggu, hingga mereka terpaksa mendapatkan maklumat daripada orang ramai menerusi media sosial.

Bagaimanapun selepas seminggu, misteri itu akhirnya terjawab apabila polis mendapati ia bukanlah kerana unsur mabuk (pemandu), tapi rupa-rupanya ada pergaduhan antara pemilik van dengan suspek (pelaku).

Gambar: Facebook

Difahamkan, suspek pada awalnya telah mencuri van itu dari rumah pemilik sebelum meletakkannya di atas bumbung hentian bas berkenaan menggunakan jentera forklift.

Kini kedua-dua pemilik van dan suspek telah dipanggil polis untuk disoal siasat dan disyaki mungkin berhadapan dengan tuduhan membahayakan.

Sumber: Oddity Central / Auto Evolution