Penduduk Setempat Terputus Hubungan, ATM Bantu Bina Jambatan Sementara Di Kg Bemban, Jelebu

Sofea

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu membina sebuah jambatan yang rosak akibat banjir di Jelebu, Negeri Sembilan.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilaporkan telah turun padang untuk meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan sementara di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu, semalam.

Difahamkan, kerosakan jambatan di kampung tersebut telah menyebabkan penduduk setempat terputus hubungan dan turut menyukarkan misi bantuan disalurkan kepada 28 buah rumah yang terjejas banjir.

“Tentera Darat Malaysia melalui Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen, (MK RAJD 3 Div) akan di atur gerak untuk membina jambatan tersebut menggunakan jambatan ‘Compact Bailey Single Lane’ (CB200).

“Kerja-kerja pembinaan jambatan akan mula dilaksanakan setelah proses menambak tebing sungai selesai dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan,” kata Tentera Darat Malaysia menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah kenyataan itu lagi, bantuan yang diberikan ini adalah selaras dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu “Peningkatan Hubungan Tentera dan Awam” yang memberi penumpuan bagi keyakinan rakyat kepada Tentera untuk memanfaatkan kerjasama dengan pihak kerajaan dan awam bagi aspek ‘Military Operations Other Then War’ (MOOTW).

Sumber: Tentera Darat Malaysia