KEPALA BATAS , 2 Okt (Bernama) — Penduduk di kawasan Permatang Janggus, Penaga dekat sini mengambil langkah berjaga-jaga termasuk hanya keluar jika perlu, dalam usaha membendung penularan pendemik COVID-19 yang sebelum ini dilaporkan terdapat kes membabitkan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, semalam.
Tinjauan Bernama hari ini di kawasan itu mendapati semua murid-murid tidak keluar dari rumah kerana menjalani kuarantin, manakala ibu bapa serta ahli keluarga yang lain turut mengambil langkah sama iaitu melakukan kuarantin kendiri, bagi memutuskan rantaian COVID-19.
Kawasan tersebut juga lenggang malah penduduk turut tidak melakukan aktiviti luar, dalam masa sama mereka meningkatkan langkah jaga-jaga terutama dalam kebersihan diri, terutama di rumah supaya sentiasa bersih.
Setiausaha Kariah Masjid Jamek Permatang Janggus Mansor Mat, 54, berkata, pengurusan masjid turut meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) jemaah ke masjid, terutama memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan.
“Masjid ini terletak hanya lima meter daripada SK Permatang Janggus, malah pintu masuknya bertentangan dengan pintu utama sekolah, jadi kami perlu perketatkan SOP untuk jemaah yang hadir ke masjid, jika ingkar kita tak benarkan masuk.
“Hari ini solat Jumaat diteruskan kerana kami tidak boleh tutup masjid, kerana tidak dapat arahan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Cuma jawatankuasa kariah bermesyuarat semalam tetapkan untuk solat jemaah seperti biasa dengan SOP diperketatkan, demi keselamatan semua anak kariah,” katanya ketika ditemui di Permatang Janggus, hari ini.
Mansor berkata, sejak semalam selepas dimaklum terdapat kes COVID-19 di SK Permatang Janggus, kawasan tersebut lenggang, kerana masing-masing memilih untuk tinggal di rumah kerana bimbang penularan pendemik tersebut.
Katanya terdapat kira-kira 250 buah rumah membabitkan 1,200 penduduk di Permatang Janggus, dengan lebih 400 murid daripada lapan kawasan kampung di sekitar kawasan sini bersekolah di SK Permatang Janggus.
“Setakat ini kami di Permatang Janggus mengambil langkah memantau diri sendiri dengan lebih duduk di rumah dan tidak keluar tanpa urusan, sebab kita kena sama-sama bertanggungjawab untuk putuskan rantaian, agar ia tidak merebak,” katanya.
Seorang lagi penduduk Ahmad Zaki Sitar, 62, berkata, semalam penduduk rasa cemas selepas mendapat berita berhubung terdapat kes COVID-19 dan mula memantau anak-anak supaya tidak keluar rumah, kerana perlu menjalani kuarantin selepas ujian saringan COVID-19.
“Mula-mula kita rasa cemas juga, tapi macam hari ni ok dah, cuma kami harap tidak adalah penambahan kes COVID-19 di Permatang Janggus ni, setakat ini keputusan belum tau lagi dan anak-anak perlu kuarantin tiada yang keluar dari rumah sejak semalam.
“Cuma kami penduduk harap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat jalankan sanitasi kawasan di sini, sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi akaun Facebooknya, meminta penduduk di kawasan Kepala Batas terutama Permatang Janggus, agar sentiasa menjaga SOP dan kebersihan diri demi keselamatan semua.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, atas tindakan pantas yang telah dilakukan dan juga mengawal keadaan dengan baik, supaya keadaan di sana kekal tenang.
“Jika sesiapa mengalami apa-apa simptom, segera ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan, ini adalah tanggungjawab yang dipikul oleh setiap rakyat Malaysia bersama demi melawan wabak COVID-19,” katanya.
Semalam Pengarah JPN Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad mengarahkan SK Permatang Janggus tutup sehingga 8 Okt ini, berikutan seorang guru wanita di situ positif COVID-19 dan ia berkuatkuasa bermula semalam bagi membendung penularan pendemik COVID-19.
Berikutan itu semua murid dan guru di sekolah tersebut menjalani ujian saringan COVID-19.
— BERNAMA