Gambar: Detik.com

Penduduk Minum Air “Sinkhole” Muncul Tengah Sawah, Sangka Penawar Rupanya Tinggi Bakteria

Fazidi

Penduduk Kampung Minum Air Dari “Sinkhole”, Sangka Penawar Rupanya Tinggi Bakteria

Penduduk sebuah kampung di Sumatera Barat bertindak mengambil air daripada lubang benam yang muncul di tengah sawah di Jorong Tepi, Nagari Situjuah Batua, Kabupaten Limapuluh Kota untuk dijadikan penawar.

Bagaimanapun, perbuatan itu mungkin membawa padah apabila siasatan lanjut dibuat oleh pihak berkuasa mendapati air daripada lubang benam berkenaan tidak selamat untuk diminum.

“Berdasarkan penelitian oleh Badan Geologi dan pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan, kualiti air menunjukkan kehadiran bakteria E-coli yang cukup tinggi,” kata Wakil Gabenur Sumatera Barat, Vasko Ruseimy.

Tambahnya, potensi hidrogen atau PH air daripada lubang benam itu juga didapati berada di bawah 6.5. Oleh itu, pihaknya mengingatkan penduduk setempat agar tidak menjadikan air tersebut sebagai sumber minuman.

“Jadi kalau boleh, jangan minum air tersebut. Secara umumnya, ia sama seperti air sungai,” kata Ruseimy lagi.

Walaupun kandungan zat terlarut keseluruhan (TDS) dan besi (FE) di tahap yang selamat, namun kandungan bateria E-coli yang tinggi menyebabkan air lubang berkenaan tersebut tidak selamat diminum.

Pemerintah Provinsi Sumatera Barat dan Pemerintah Kabupaten Limapuluh Kota, Badan Geologi dan institusi berkaitan sudah melakukan pemantauan terhadap lubang benam tersebut, bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

Ruseimy juga berharap dengan penjelasan yang diberikan, penduduk setempat lebih berhati-hati dan tidak terkeliru dengan dakwaan manfaat air daripada lubang benam berkenaan.

Beliau juga menegaskan bahawa pembentukan lubang benam adalah fenomena alam yang biasa dan tiada kaitan dengan sebarang unsur mistik termasuk dakwaan boleh menyembuhkan penyakit.

“Tidak ada. Air lubang ini tidak boleh menyembuhkan penyakit atau ada kebaikan kepada kesihatan. Tidak ada,” tegas beliau.

Penduduk juga diingatkan untuk mematuhi perintah yang ditetapkan dan pihak polis juga sudah memasang pita garisan kuning pada jarak 50 meter daripada tebing lubang benam tersebut.

BACA: Kes Pelajar UniSZA Maut: Pemandu Honda Jazz Diperintah Jalani Pemeriksaan Mental

Sumber: Detik.news