Gambar : Bernama

Penduduk Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, Gempar Bunyi Letupan Awal Pagi

Sha Rossa

Sungai Besar : Penduduk di sekitar Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor dekat sini, gempar dengan bunyi letupan dari tapak pembuangan sampah haram awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3.30 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor dan Kapar digegaskan ke lokasi kejadian di Jalan Kapar Batu 16, dekat sini.

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran dan hasil pemeriksaan menemukan ia berpunca daripada 270 tong berlonggok disyaki mengandungi bahan kimia yang dibuang di kawasan itu.

“Kebakaran di kawasan seluas 50×50 kaki persegi itu bagaimanapun dapat dipadam sepenuhnya sekitar 5.58 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Hafisham, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jenis bahan kimia yang terdapat dalam tong tersebut masih disiasat.

”Bagaimanapun anggota bomba yang memadamkan kebakaran kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital kerana ia membabitkan bahan kimia,” katanya.

Sumber : Bernama