Kredit: Tribun News/Jambi Independent

Penduduk Gempar, Pekerja Pembersihan Dilapor Temui Kereta Dengan Rangka Manusia Ketika Bersihkan Terusan

Amira

Sebuah kereta pikap yang mengandungi rangka manusia dilaporkan ditemui di dalam sebuah terusan di Kabupaten Tanjung Jabung Timur, Jambi semalam telah membuatkan penduduk gempar.

Menurut Tribun News, penemuan itu berlaku semasa proses pembersihan terusan di kawasan kebun tersebut ketika pasukan pembersihan sedang menggunakan jengkaut sebelum terjumpa kenderaan malang berkenaan di dasar terusan.

Wakil pejabat daerah, Hendri berkata, proses pemindahan dilakukan menggunakan jengkaut bagi menarik keluar kereta pikap tersebut ke daratan.

Sementara itu, wakil polis tempatan, AKBP Deden Nurhidayatullah mengesahkan kejadian berkenaan.

“Sekitar pukul 1.30 petang Rabu (3 Mac), pasukan pembersihan membersihkan terusan dengan jengkaut jenis Komatsu PC 200 mendapati terdapat kenderaan Kijang Kapsul dengan nombor pendaftaran BG 9*** MK terkena bucket jengkaut. Setelah diperiksa, pasukan melihat ada tulang manusia di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Lapor Tribun News, pihak polis percaya kenderaan itu sudah berada di dalam terusan berkenaan sekitar lima bulan sebelum ditemui.

“Sebabnya, terusan ini dibersihkan setiap enam bulan sekali,” jelas Nurhidayatullah.

Mangsa dipercayai merupakan sub kontraktor projek berhampiran, pun begitu tiada identiti ditemui, tulis portal berkenaan.

Tengkorak mangsa kemudiannya dibawa ke hospital tempatan untuk menjalani ujian DNA bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Antara barangan lain yang ditemui ialah topi keledar projek, gugusan kunci, botol air, tali pinggang dan kasut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Mudah-mudahan kita dapat ketahui segera,” kata Nurhidayatullah.

Sumber: Tribun News