Penduduk Gempar Kelahiran Anak Kambing Bermata Satu Di Pandan Indah
Penduduk kampung di Pandan Indah, Lombok Tengah di Indonesia digemparkan dengan kelahiran seekor anak kambing bermata satu baru-baru ini, lapor Daily Star.
Anak kambing itu dipercayai merupakan salah seekor daripada dua anak kambing yang dilahirkan oleh ibu yang sama pada 7 Mei lalu.
Walaupun seekor lagi dilahirkan normal, anak kambing yang kedua ini berbeza kerana ia hanya mempunyai satu mata dan hampir seperti manusia kerana mempunyai janggut.
Jiran kepada pemiliknya, Masdar Farid, 26, memberitahu media tempatan, “Kambing bermata satu itu agak pelik, ia tidak berbulu dan mempunyai warna yang agak pelik.
“Malah ia kelihatan seperti wajah manusia kerana janggutnya,” katanya.
Anak kambing itu bagaimanapun dilaporkan mati 20 minit kemudiannya.
Kredit CENKelahiran itu menggemparkan penduduk tempatan serta dari kampung jiran yang kemudiannya berpusu-pusu datang untuk melihat haiwan pelik tersebut.
Sejurus selepas kematiannya, pemilik haiwan itu, Suprapto, 30, bertindak menanamnya di dalam tanah.
Masdar menambah, “Ia hidup selama kira-kira 20 minit dan kemudian mati. Ia diperhatikan oleh penduduk sebelum dikebumikan oleh Suprapto.
“Malam tadi (7 Mei), ramai penduduk ingin melihat kambing bermata satu. Malah penduduk dari Kampung Kabul iaitu kampung sebelah turut datang melihat kambing bermata satu itu,” kata Masdar lagi.
Kecacatan yang dipanggil cyclopia
Menurut Ketua Agensi Pertanian Lombok Tengah, Taufikurrahman Puanoet, anak kambing itu mengalami kecacatan yang dipanggil cyclopia yang difahamkan sangat jarang berlaku.
Cyclopia berlaku apabila gangguan kongenital menyebabkan orbit mata tidak terbahagi kepada dua rongga.
Ia kemudiannya mengakibatkan satu rongga mata atau dua rongga mata menjadi sangat rapat antara satu sama lain.
BACA: Kambing ‘Sado’ Berjaya Dirakam Di Sebuah Pergunungan
Dalam kejadian berasingan, seorang petani terkejut selepas seekor daripada lembunya melahirkan anak lembu mutan dengan dua kepala.
Lembu betina milik Leslie Hunewill itu dikatakan bergelut untuk melahirkan anaknya dan akhirnya terjawab selepas melihat anak lembu tersebut.
Anak lembu yang dilahirkan adalah anomali (lain daripada kebiasaan) iaitu nisbahnya satu dalam setiap 2,500 kelahiran yang lain.
Leslie berkata lembu berkepala dua dihasilkan dalam 0.039 peratus iaitu bersamaan dengan satu dalam 2,500 kelahiran.
Sumber: Daily Star