Susulan kejadian tanah runtuh di Taman Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini, penduduk di Apartment Sri Duta 1 diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memetik laporan Kosmo, telah berlaku insiden tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ. Difahamkan ia berpunca dari hujan lebat yang melanda sebahagian kawasan di Lembah Klang sejak Sabtu.
Justeru, penduduk di apartmen berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan.
Jelas Shahidan, Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sedang meneliti perkara itu dan akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pengurusan pangsapuri untuk mencari penyelesaian. Laporan berhubung kejadian dijangka siap hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata ketika ditemui Kosmo, pihak kontraktor sedang giat melaksanakan kerja mengukuhkan asas tanah di bangunan terjejas dan setakat ini belum ada laporan pergerakan tanah dikesan.
Sumber: Kosmo