Penduduk di Zhoushan, China digemparkan dengan satu fenomena aneh apabila langit dikawasan berkenaan bertukar menjadi warna merah seperti darah, baru-baru ini.
Menurut laporan WIO News, keadaan itu sempat menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan dengan ada yang menyifatkan ia seolah-olah ia ‘pemandangan akhir zaman’ dan ‘penghujung dunia’.
Pada awalnya, tiada pihak yang tampil menjelaskan punca sebenar fenomena berkenaan berlaku. Disebabkan itu, media sosial kemudiannya dibanjiri dengan pelbagai teori. Salah satunya, netizen mendakwa fenomena berkenaan disebabkan aktiviti solar skala besar.
Dakwaan ini dibuat berdasarkan kajian yang diterbitkan di Jepun pada 2017 yang merekodkan fenomena serupa pernah berlaku di negara Matahari Terbit itu pada 1770. Dalam kajian tersebut, fenomena yang berlaku ketika itu berpunca daripada aktiviti solar skala besar.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan dinafikan oleh pihak kerajaan tempatan tidak lama kemudian. Menurut pihak berkuasa, fenomena berkenaan berlaku disebabkan pembiasan cuaca.
”Apabila cuaca bagus, kandungan air dalam atmosfera akan membentuk aerosal yang mana akan membias dan menyelerakkan cahaya daripada bot-bot nelayan. Ia kemudian membentuk fenomena langit merah seperti yang dilihat oleh orang awam,” kata jurucakap kepada Agensi Meteorologi China.
Stesen televisyen tempatan juga berjaya menemui pemilik kepada bot-bot nelayan dan mereka mengesahkan punca kejadian tersebut. Pemilik-pemilik bot nelayan ini mengakui sumber cahaya berkenaan datang daripada bot mereka dan biasan cahaya menyebabkan kabus tebal bertukar menjadi warna merah.
Sumber: WIO News