Bunyi dentuman kuat seakan letupan bom mencetuskan panik seluruh penduduk di Buleleng, Bali, pada pagi ini.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Buleleng, Gede Sumarjaya, bunyi letupan yang turut didengarinya itu tidak disertai dengan getaran.
Menurut laporan Detik News, kejadian itu disahkan oleh Institut Aeronautika dan Angkasa Negara (Lapan) yang menyatakan bahawa bunyi letupan itu kemungkinan disebabkan oleh batu meteor yang jatuh ke kawasan Buleleng.
Kata Sumarjaya, beberapa saksi kejadian yang memberi keterangan kepada pihak polis turut melihat batu meteor jatuh ke arah barat laut Buleleng.
Namun, sehingga saat ini katanya, polis yang melakukan pencarian masih belum menjumpai batu meteor di kawasan tersebut dan meminta orang ramai untuk bertenang dan tidak panik.
Penyelidik Lapan, Rhorom Priyatikanto berkata, bunyi dentuman memiliki getaran 1.1 magnitud yang mungkin berasal daripada objek di angkasa.
“Getaran mempunyai intensiti sekitar 1.1 magnitud. Berdasarkan maklumat ini, ada kemungkinan kejadian itu adalah kejadian objek jatuh dari angkasa,” katanya.
Jelasnya, meteor berukuran besar atau dikenali sebagai bolide atau bola api boleh memasuki atmosfera, terbakar, dan jatuh di kawasan Buleleng.
Di dalam proses tersebut, meteor dapat memicu gelombang kejutan hingga menghasilkan bunyi dentuman dan dapat dikesan oleh sensor gempa.
“Sebilangan besar meteor terbakar di atmosfera dan mungkin ada bahagian kecil yang tersisa dan jatuh ke permukaan bumi (darat atau laut),” katanya.
Sumber: Detik News