Pendaki Gunung Fuji Bakal Dikenakan Bayaran RM119
Jepun – Pendaki Gunung Fuji yang menggunakan mana-mana empat laluan utama bakal dikenakan bayaran masuk sebanyak 4,000 Yen (RM119.53) bermula musim panas. Peraturan tersebut diperkenalkan selepas pihak berkuasa tempatan meluluskan rang undang-undang pada Isnin, lapor AFP.
Menerusi pengumuman ini, bayaran Laluan Yoshida bakal digandakan bagi musim pendakian Julai hingga September tahun ini. Perkara ini berikutan kebimbangan terhadap kesesakan pelancong asing yang semakin meningkat di kawasan gunung tertinggi tersebut.
Sementara itu, pihak berkuasa wilayah Shizuoka telah meluluskan rang undang-undang yang turut mengenakan bayaran sebanyak 4,000 Yen bagi ketiga-tiga laluan yang sebelum ini percuma. Pengumuman ini dibuat pada Isnin.
Terdahulu, pihak berkuasa wilayah Yamanashi telah memperkenalkan bayaran masuk sebanyak 2,000 Yen (RM59.77). Malah pilihan memberikan sumbangan di laluan mendaki gunung berapi itu yang paling terkenal, iaitu Laluan Yoshida turut diperkenal.
Selain itu, had kemasukan harian dan tempahan dalam talian juga diperkenal di laluan berkenaan berikutan kebimbangan pihak berkuasa tentang keselamatan dan kerosakan alam sekitar.
Berikutan pengenalan had baharu ini, data daripada Menteri Alam Sekitar menunjukkan penurunan jumlah pendaki pada tahun lalu. Jumlah tersebut menurun kepada 204,316 pendaki berbanding 221,322 orang bagi 2023.
Pegawai wilayah Shizuoka, Natsuko Sodeyama berkata, biarpun jumlah ini tidak mencapai setinggi jumlah pendaki sebelum pandemik, namun 200,000 pendaki masih ramai.
“Tidak ada gunung lain di Jepun yang menarik begitu ramai pelancong dalam tempoh hanya dua bulan. Jadi, beberapa sekatan perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan mereka,” jelasnya.
Gunung Fuji sentiasa diselaputi salji hampir sepanjang tahun. Namun ketika musim pendakian dalam musim panas, ramai yang sanggup mendaki lereng gunung yang curam dan berbatu pada waktu malam bagi tidak melepaskan peluang menyaksikan matahari terbit.
Gunung dengan bentuk yang simetri ini sering diabadikan dalam pelbagai karya seni. Ini termasuk karya “Great Wave” oleh Hokusai. Kali terakhir Gunung Fuji meletus ialah 300 tahun dahulu.
BACA: Detik Pengumuman Puasa Di Jepun, Rupanya Ikut Tarikh Diumumkan Malaysia
BACA: “Team” Robot Kolej Tunku Kurshiah Menang Lawan Wakil Jepun
Sumber: AFP