
Pendaki Cemas Selamatkan Diri, Runtuhan Salji Tiba-tiba Berlaku
Sekumpulan pendaki menghadapi detik cemas apabila menyaksikan runtuhan salji berlaku di depan mata mereka di Gunung Salji Meili, China.
Menurut CNN, kejadian yang berlaku secara tiba-tiba di bahagian cerun gunung di barat daya negara itu turut berjaya dirakam dan menjadi tular menerusi aplikasi Weibo.
Sementara itu, media rasmi China melaporkan bahawa insiden itu berlaku di kawasan yang belum dibangunkan di Kawasan Pemandangan Taman Negara Gunung Salji Meili.
Difahamkan, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan akibat kejadian itu.
Pendaki cemas sempat larikan diri, risau ditimpa runtuhan salji tiba-tiba berlaku
Dalam video yang menjadi tular, turut kedengaran jeritan beberapa pendaki yang sedang ketakutan apabila melihat runtuhan salji meluru ke arah mereka.
Kumpulan pendaki itu kemudian segera menyelamatkan diri termasuk berlindung di sebuah pondok yang terletak berdekatan dengan lokasi tersebut.
Apabila runtuhan itu tiba di lokasi mereka berlindung, kawasan berubah menjadi gelap seolah-olah sedang dilanda ribut salji.
“Cuaca panas selama dua hari menyebabkan salji mencair lebih cepat, meningkatkan risiko runtuhan salji,” kata salah seorang pekerja.
Rata-rata warga maya yang melihat video tersebut merasa terkejut dan berpendapat sekumpulan pendaki cukup bertuah kerana tiada perkara tidak diingini berlaku.
Sebelum ini, insiden sama turut dilapor berlaku di sebuah gunung yang menjadi tumpuan pelancong di Jepun.
Isiden itu menyebabkan lebih 100 orang terkandas di dua hotel di kawasan peranginan mata air panas akibat runtuhan salji menghalang laluan.
Menurut Agensi Berita Kyodo, runtuhan salji itu berlaku sekitar 4 pagi di daerah Tsuchiya Onsen yang terletak di kawasan pergunungan di barat daya bandar Fukushima.
Salji yang menutupi jalan telah dibersihkan di sebelah pagi hari kejadian, namun satu lagi runtuhan salji berlaku sebelum tengah hari.
BACA: Bulan Berada Pada Titik Paling Dekat Dengan Bumi 2 Mac Ini
BACA: Penjual Daging Salai Selamat Jalani Pembedahan Implan Tempurung Kepala
Sumber: CNN