
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PK) telah menerima aduan awam berkaitan penjualan buku-buku yang mengandungi elemen subversif di Toko Buku Rakyat, Wisma Central, Kuala Lumpur.
Pada 18 Ogos 2023, Penguatkuasa KDN telah menjalankan pemeriksaan dan menahan dua naskhah buku bertajuk Koleksi Puisi Masturbasi dan Marx Sang Pendidik Revolusioner kerana disyaki mengandungi elemen-elemen hasil penerbitan yang tidak diiingini berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 (Pindaan) 2012.
Merujuk Seksyen 7 AMCP 1984 (Pindaan) 2012, penerbitan yang tidak diingini adalah mana-mana penerbitan yang didapati mengandungi elemen yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, menggemparkan pemikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang undang, memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Tindakan ke atas dua naskhah buku berkenaan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang membolehkan Penguatkuasa KDN menahan dan memeriksa apa-apa hasil penerbitan yang disyakinya boleh dikenakan larangan. Bahan penerbitan yang ditahan ini akan diteliti bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk dikenakan Perintah Larangan ataupun sebaliknya.
Mana-mana pihak adalah diingatkan supaya tidak mengganggu dan memberi ancaman terhadap penjawat awam dalam menjalankan tugas seperti membuat kenyataan dan sebaran maklumat tidak tepat mengenai penahanan bahan penerbitan ini sehingga selesai.
KDN sentiasa mengambil pendekatan serius dalam menjalankan penguatkuasaan dan kawalan terhadap penerbitan dalam apa jua bentuk yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan selaras dengan peruntukan di bawah AMCP 1984 (Pindaan) 2012.
Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau melalui laman sesawang www.moha.gov.my.