Cyberjaya, 30 Apr – Semalam merupakan hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan. Malah, Jumaat ini juga adalah Jumaat yang istimewa memandangkan sehari sebelumnya merupakan malam 27 Ramadan. Justeru, tidak hairanlah umat Islam di serata dunia berluma-lumba memperbanyakkan ibadah. Ada yang beriktikaf di masjid, memperbanyakkan zikir, mendirikan solat-solat sunat selain solat tarawih dan bertadarus al-Quran sepanjang hari.
Di Malaysia, pintu-pintu masjid terbuka 24 jam untuk umat Islam. Bagaimanapun, di beberapa negara, termasuklah Palestin, umat Islam disana berdepan dengan cabaran yang getir apabila mahu melaksanakan syariat Islam seperti menunaikan Solat Jumaat, lebih-lebih lagi pada Jumaat terakhir bulan Ramadan.
Ia dapat dilihat melalui perkongsian-perkongsian tular di laman Twitter yang menunjukkan kepayahan yang perlu ditempuhi pemuda-pemuda Islam di sana yang mahu mendirikan agama.
Menurut perkongsian berkenaan, pemuda-pemuda Palestin dilapor terpaksa mempertaruhkan keselamatan diri dengan memanjat tembok yang dibina tentera Israel, demi menunaikan kewajipan mendirikan Solat Jumaat sebagai seorang Muslim.
Difaham, tembok-tembok berkenaan memisahkan kawasan dimana pemuda-pemuda ini berada dengan Masjid Al-Aqsa. Masjid ini merupakan masjid ketiga paling suci di dalam Islam.
Israel sebelum ini menetapkan hanya warga Palestin daripada Tebing Barat dan Baitulmuqadis yang berumur 50 tahun ke atas sahaja dibenarkan beribadah di masjid berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan nasib pemuda-pemuda berkenaan, sama ada mereka berjaya melepasi tembok berkenaan dan mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa ataupun sebaliknya.
Ini memandangkan dalam perkongsian yang dibuat, dapat dilihat keberadaan beberapa orang anggota tentera Israel yang berkawal di kawasan berdekatan tembok berkenaan.
Sumber: Twitter