
BANDAR BAHARU, 21 April (Bernama) — Seorang pemuda cedera di kaki selepas terjatuh dari motosikalnya yang ditendang pelarian etnik Rohingya ketika cuba menahan mereka selepas lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat sini, semalam.
Menceritakan kejadian itu, Mohamad Ashraf Firdaus Mohd Yusof, 30, berkata dia bersama beberapa orang penduduk kampung bertindak mengejar sekumpulan pelarian itu atas dasar rasa tanggungjawab untuk menjaga keselamatan penduduk sekitar.
“Ketika kejadian pagi semalam, kami sedang duduk di sebuah rumah berhampiran depot tahanan itu, sebelum seorang rakan datang memberitahu ada tahanan yang melarikan diri dari depot tersebut.
“Kami kemudian seramai lima orang menaiki beberapa motosikal mengejar tahanan sebelum menemukan sekumpulan pelarian di satu kawasan di Sungai Rambai tidak jauh dari depot,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kumpulan pelarian seramai 10 orang terdiri daripada beberapa lelaki, wanita dan kanak-kanak itu cuba menyertai kumpulan pelarian yang lebih besar tidak jauh dari lokasi berkenaan.
Beliau berkata ketika cuba menangkap etnik Rohingya berkenaan, seorang daripada mereka bertindak menendang motosikal yang ditungganginya sehingga terjatuh menyebabkan kakinya terseliuh selepas dihempap jentera berkenaan.
Mohamad Ashraf Firdaus berkata tanpa memikirkan kesakitan dan keselamatan, dia bersama rakan tetap berusaha menangkap pelarian sebelum diserahkan kepada polis.
“Saya dulu adalah anggota pasukan simpanan polis (PVR), jadi apabila berlaku kejadian ini kita rasa bimbang mereka mungkin mengancam keselamatan penduduk,” katanya menambah beliau turut digigit di tangan kiri oleh seorang pelarian wanita ketika cuba menahannya.
Beliau yang kini bekerja sebagai kontraktor pembersihan untuk sebuah pihak berkuasa tempatan berkata beberapa pelarian yang ditahan semula memberitahunya bahawa mereka terpaksa melarikan diri dari depot tahanan itu kerana diarahkan berbuat demikian oleh seorang etnik Rohingya, yang mengancam untuk memukul jika tidak berbuat demikian.
Dalam kejadian 4.30 pagi Rabu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, melarikan diri.
Setakat ini, seramai 130 tahanan iaitu 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan belum dijumpai.
— BERNAMA