Kredit: IG Andreas Tonelli

Pempengaruh Sukan Ekstrem Maut Terjatuh Dari Gunung Ketika Ekspidisi Basikal Lasak

Sofea

Pempengaruh Sukan Ekstrem Maut Terjatuh Dari Gunung Ketika Ekspidisi Basikal Lasak

Seorang penunggang basikal lasak dan pempengaruh sukan ekstrem maut selepas terjatuh lebih 600 kaki dari puncak Dolomites, hanya beberapa jam selepas berkongsi video di media sosial.

Memetik laporan Daily Mail, Mayat Andreas Tonelli, 48, ditemui awal pagi Rabu di dalam sebuah lurah di kawasan Vallunga, Val Gardena, yang terletak dalam banjaran gunung Dolomites di wilayah South Tyrol, Itali.

Terdahulu, rakan-rakan Tonelli menghubungi pihak kecemasan pada jam 9 malam waktu tempatan kerana bimbang lelaki itu tidak pulang dari ekspedisinya seperti yang dijadualkan.

Operasi menyelamat telah dijalankan susulan laporan tersebut dan pihak kecemasan menemui mayatnya.

Kurang dua jam sebelum operasi itu bermula, Tonelli sempat memuat naik sebuah video kepada 127,000 pengikutnya di media sosial, menunjukkan dia sedang berdiri di puncak Piz Duleda, sebuah gunung setinggi 9,543 kaki (2,909 meter).

Rakaman tersebut menunjukkan Tonelli tersenyum lebar memikul basikal di bahunya, melewati sebuah salib kecil yang menandakan puncak gunung tersebut.

Kredit: Instagram Andreas Tonelli

Difahamkan, Tonelli dipercayai mengalami kemalangan atau hilang kawalan ketika menuruni cerun gunung, lalu terjatuh sejauh 650 kaki ke lereng, menyebabkan kecederaan parah yang meragut nyawanya.

Sebuah helikopter dihantar dalam masa beberapa minit selepas amaran diterima, dan pasukan penyelamat berjaya mengesan Tonelli di dasar lurah sekitar jam 1 pagi, Rabu. Namun begitu, keadaan kawasan tersebut yang berbahaya menyebabkan mereka tidak dapat turun untuk mengangkatnya pada waktu malam.

Pasukan penyelamat hanya berjaya sampai ke lokasi tidak lama selepas subuh keesokan harinya dan mengesahkan bahawa Tonelli telah meninggal dunia akibat kecederaannya.

BACA: Pempengaruh Motosikal Terkenal, MotoTanya Maut Akibat Kemalangan

Tonelli merupakan anak jati wilayah South Tyrol, Itali, dan sejak kecil sudah mengenali kawasan pergunungan Dolomites.

Beliau dilaporkan berhenti kerja di pejabat konvensional untuk mengejar gaya hidup di atas dua roda. Dia kini bekerja sebagai pemandu pelancong berbasikal di Dolomites sambil mengumpul pengikut yang ramai di media sosial menerusi video-video penuh aksi adrenalin.

Tonelli menjadi figura terkenal dalam komuniti basikal lasak setelah berjaya melaksanakan beberapa pencapaian hebat, termasuk menawan puncak gunung berapi Nevado Ojos de Salado di Chile setinggi 22,614 kaki (6,893 meter), menurut akhbar Il Messaggero dari Itali.

Beliau juga dilaporkan aktif dalam sukan papan salji dan sering mendaki gunung menggunakan splitboard iaitu sejenis papan salji yang boleh dipisahkan menjadi dua ski ketika mendaki atau bergerak di permukaan rata, kemudian dicantum semula untuk menuruni cerun.

Tonelli sedang menjalani cabaran selama empat hari yang dinamakan ‘Dolomites Enduro Traverse’, iaitu gabungan aktiviti berbasikal dan pendakian merentasi Dolomites, dengan kerjasama jenama pakaian lasak dari Norway, Norrøna.

Sumber: Daily Mail

BACA JUGA: Mat Salleh Peminat Tegar Proton, Pamer Koleksi Klasik Miliknya