
Pemotongan 20 Peratus Gaji Jemaah Menteri Masih Diteruskan, PM Kekal Tak Ambil Gaji
PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa pemotongan gaji sebanyak 20 peratus terhadap Jemaah Menteri masih diteruskan.
“Pemotongan 20 peratus gaji diteruskan, melainkan Perdana Menteri tidak ada potongan sebab tidak ada gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas mengenai rombakan kabinet hari ini.
Sebelum ini, semua jemaah menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju melakukan pemotongan gaji sebanyak 2o peratus setiap bulan, lapor Astro Awani.
Kata Ahli Parlimen Tambun itu, ia sebagai langkah semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.
“Jemaah Menteri setuju bahawa atas semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat dan memotong gaji setiap bulan sebanyak 20 peratus
“(Pemotongan gaji) ini sehingga ekonomi pulih. Kalau ekonomi pulih tiga tahun (pemotongan berlaku tiga tahun).
“Pemotongan gaji ini tidak wajar dan saya berterima kasih dengan kesediaan mereka (barisan Kabinet,” katanya.
Perubahan Kabinet Kerajaan Perpaduan
Sementara itu, Anwar dalam teks ucapannya memberitahu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Menteri Kesihatan baharu. Manakala bekas menterinya, Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Manakala Menteri Pertahanan pula disandang oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Anwar selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memaklumkan jawatan tersebut kekal dijawat olehnya. Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kewangan II.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berganding bahu bersama Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini yang menyandang jawatan Menteri Pertahanan dipindahkan ke Menteri Luar Negeri. Manakala, Zambry Abdul Kadir yang juga mantan menteri itu dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.
Menteri Perladangan dan Komoditi baharu pula disandang oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sementara itu, Armizan Mohd Ali yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilantik sebagai Menteri KPDN yang baharu.
Di samping itu, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo dilantik sebagai Menteri Digital.
Maklum Anwar, rombakan kabinet tersebut dilaksanakan berdasarkan penyesuaian dan keperluan semasa bidang-bidang terlibat.
Sumber: BERNAMA