Liverpool, kelab gergasi yang juga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) paling berjaya diperingkat Eropah dipilih sebagai kelab paling dibenci dalam saingan EPL oleh para peminat bola sepak.
Dalam satu undian yang dibuat oleh laman twitter, SPORTbible, Liverpool menerima sebanyak 41.6 peratus daripada 28,602 undian.
Di tangga kedua, para peminat memilih pesaing utama abadi kepada Liverpool, iaitu Manchester United dengan 35.1 peratus. Seterusnya, Chelsea dengan 14.3 peratus dan diikuti Arsenal dengan 9 peratus.
Menariknya, pengendali kepada Manchester City yang juga peneraju takhta EPL musim 2021/22, Pep Guardiola sebelum ini mengeluarkan satu kenyataan yang luar biasa apabila berkata seluruh England termasuk peminat bola dan media sebenarnya menyokong Liverpool dan mahu melihat kelab itu menjuarai liga.
”Semua pihak di England, peminat dan media mahukan Liverpool menjuarai liga. Ya, mereka mempunyai sejarah yang hebat di peringkat Eropah, tetapi tidak dalam saingan liga domestik. Mereka hanya menang sekali dalam tempoh 30 tahun ini,” dakwanya.
Seakan tidak percaya, wartawan sekali lagi bertanya adakah beliau benar-benar percaya seluruh England mahukan Liverpool menjuarai EPL, Klopp sekali lagi mengulangi kenyataan dengan nada yang sama.
”Liverpool bersama-sama dengan Manchester United adalah kelab paling penting dalam sejarah dari segi kejuaraan yang diraih dan legasi. Tetapi, saya langsung tidak kisah jika semua pihak mahukan Liverpool memenangi EPL, bukannya kami (City).
”Malah, Liverpool mungkin mempunyai lebih ramai peminat di seluruh dunia berbanding kami,” dakwanya lagi.
Kenyataan yang dibuat Pep seolah-olah disangkal dengan undian yang dibuat oleh SPORTbible apabila memilih Liverpool sebagai kelab EPL paling dibenci.
Skuad kendaliannya hampir dikejutkan oleh West Ham dalam perlawanan liga baru-baru ini. Ketinggalan 2-0, jaringan Jack Grealish dan gol sendiri pertahanan West Ham, Vladimir Coufal sekurang-kurangnya memberikan nafas lega kepada Gurdiola menjelang perlawanan terakhir liga.
City ketika ini berada di takhta liga dengan 90 mata, manakala Liverpool mengekori rapat dengan 86 mata di tangga kedua. Liverpool berpeluang untuk merapatkan jurang kepada 1 mata sekiranya berjaya menumpaskan Southampton di laman lawan pagi ini.
Sumber: SPORTbible, Givemesport