Pemilik suara bagi karakter Nobita dalam siri animasi popular Doraemon dilaporkan meninggal dunia dipercayai kerana mengalami gagal jantung.
Menurut laporan Kompas, Yoshiko Ota atau pemilik nama sebenar Yoshiko Saka ini merupakan pengisi suara pertama Nobita pada tahun 1973.
Yoshiko meninggal dunia pada 29 Oktober 2021 ketika usia 89 tahun di salah sebuah hospital yang terletak di wilayah Kanagawa. Pun begitu, berita kematian Yoshiko baru dihebahkan pada 8 November lalu oleh The Theater Echo Theater Company.
Wanita kelahiran Hyogo ini mula menceburkan diri dalam dunia animasi sebagai pengisi suara pada tahun 1947 di bawah pengurusan Takarazuka Revue dan bertemu seorang lagi pengisi suara, Osamu Saka yang kemudian menjadi suaminya.
Pada tahun 1964, pasangan ini mengambil keputusan berpindah ke Tokyo dan menyertai Theater Echo Group, juga sebagai pengisi suara.
Selain karakter Nobita, Yoshiko turut menyumbangkan suaranya untuk watak Leo dalam animasi Jungle Emperor Leo sekitar tahun 1966, Atsuko Kagami dalam Himitsu no Akko-chan (1969) dan watak Baby Panda dalam animasi Panda! Go, Panda!.
Memetik laporan Kompas, Yoshiko pernah menerima anugerah atas sumbangannya dalam karya awal anime di Lifetime Achievement Award 2016 dan Tokyo Anime Award Festival.
Sumber: Kompas