Pemilik Qatar Islamic Bank Sah Bida Manchester United
Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani, pengerusi Qatar Islamic Bank mengesahkan bahawa beliau telah mengemukakan bidaan untuk mengambil alih Manchester United.
Memetik Manchester Evening News, bakal pembeli kelab itu harus membentangkan cadangan mereka pada jam 10 malam hari Jumaat lalu untuk tarikh akhir penutupan bidaan.
“Syeikh Jassim Bin Hamad Al Thani hari ini mengesahkan penyerahan tawaran untuk pemilikan 100 peratus Kelab Bola Sepak Manchester United.
“Bidaan itu merancang untuk mengembalikan Kelab tersebut kepada kejayaannya di dalam dan di luar padang. Justeru kami akan berusaha untuk menambat hati peminat Kelab Bola Sepak Manchester United sekali lagi,” dalam satu kenyataan.
Pemilik Qatar Islamic Bank bida United
Menurut kenyataan itu lagi, bidaan itu akan bebas sepenuhnya daripada hutang melalui Yayasan 92 Sheikh Jassim. Sheikh Jassim juga berikrar untuk membuat pelaburan besar dalam membentuk pasukan, pusat latihan, stadium dan infrastruktur yang lebih luas.
Perubahan itu dibuat bagi memberikan pengalaman kepada peminat dan komuniti yang menyokong kelab tersebut.
“Visi bidaan adalah untuk menaikkan semula nama Manchester United yang terkenal dengan kecemerlangan dan kembali menjadi kelab bola sepak yang terhebat di dunia. Butiran lanjut bidaan akan dikeluarkan selepas perkembangan mengenai bidaan diketahui,” tambah kenyataan itu lagi.
Sheikh Jassim merupakan peminat United sepanjang hidupnya. Anak kepada bekas perdana menteri Qatar itu telah menjadi pihak kedua yang secara rasmi mengisytiharkan minat untuk membeli United.
Pengumuman itu dibuat selepas Sir Jim Ratcliffe menyatakan hasratnya yang berminat untuk membida pada Januari lalu. Kelab itu diletakkan status untuk dijual pada bulan November lalu dengan lembaga pemilikan memaklumkan keputusan itu bagi “meneroka alternatif strategik” terbaru.
Menurut Manchester Evening News, bidaan semasa hanya indikatif sahaja dan apabila pembida mencapai peringkat proses seterusnya mereka akan memasuki bilik data. Di situ bakal pembeli akan dapat melihat maklumat berkaitan kewangan kelab.
BACA: Terlepas Tiga Perlawanan Selepas Dilayangkan Kad Merah, United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro
Waktu ini merupakan saat pembida perlu menyerahkan tawaran mereka, setelah memahami nilai aset dan hutang kelab tersebut.
Sumber yang rapat dengan bidaan Al Thani berkata, jika berjaya mereka akan mengutamakan pelan jangka panjang dan mampan dalam semua pasukan lelaki dan wanita. Tumpuan juga akan diberikan kepada program pembangunan belia.
Mereka telah berikrar untuk meningkatkan infrastruktur kelab tersebut termasuk stadium dan kemudahan latihan. Al-Thani juga mahu mencipta faedah jangka panjang yang berkesan untuk komuniti Manchester yang lebih luas.
Sumber: Manchester Evening News