MELAKA, 29 Mei (Bernama) — Selain membeli keperluan harian sebagai persediaan menghadapi total lockdown atau sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun nanti, pemilik haiwan peliharaan turut ‘sibuk’ membeli keperluan haiwan mereka.
Tinjauan Bernama di beberapa kedai menjual keperluan haiwan kesayangan di sini mendapati rak berisi makanan, pasir kucing dan beberapa barang keperluan habis licin.
Belajar daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lepas, seorang pelanggan Razak Arshad, 30, mengakui kali ini dia membeli keperluan haiwan peliharaannya iaitu dua ekor kucing, lima ekor ikan emas dan seekor arnab, lebih daripada kebiasaan.
“Dulu ikan emas peliharaan saya mati sebab terputus bekalan makanan dan penapis air sebab kedai tutup. Kucing pula, makanannya terpaksa diganti dengan jenama lain dan menyebabkannya cirit.
“Mungkin bagi orang lain perkara biasa tapi kematian haiwan peliharaan sebab terputus bekalan makanan memang memberi kesan kepada saya. Jadi kali ini, saya buat sedikit persediaan awal, takut perkara sama berlaku,” katanya.
Sementara itu, seorang petugas di sebuah kedai haiwan peliharaan Hana Rashid, 25, berkata pihaknya lebih bersedia kali ini berbanding PKP 1.0 dahulu.
“Stok makanan setakat ini tiada masalah tapi untuk stok tambahan kita tak dapat nak pastikan sebab bergantung kepada boleh atau tidak pembekal datang hantar barang.
“Bagi operasi kedai, kalau kena buka macam dulu yang urusan pembelian hanya di depan pintu, kami akan bersedia,” katanya yang turut menjelaskan pembelian masih boleh dilakukan secara dalam talian.
Mengakui pelanggan sudah beratur panjang di depan kedai sejak awal pagi, Hana menjelaskan tiada berlaku kesesakan di dalam kedai.
“Ramai macam selalu cuma tengok pelanggan beli lebih banyak daripada biasa. Mungkin takut kedai tidak buka nanti,” katanya.
Sumber: BERNAMA