KUALA LUMPUR, 7 Disember 2020 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset yang bakal menyambut usia 50 tahun pada tahun hadapan mengumumkan barisan pemenang bagi ‘Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50’ di sini, hari ini.
Pertandingan yang dibuka kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas itu telah berlangsung dari 10 Oktober hingga 31 Oktober lalu. Hampir 3,000 penyertaan diterima dan beberapa sesi penilaian yang melibatkan Pengerusi, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Pengurusan Kanan dan juga kakitangan UDA telah dijalankan bagi memilih 10 logo terbaik sebagai pemenang. Hadiah keseluruhan berjumlah RM25,000 diberikan kepada tiga pemenang utama dan 7 penerima hadiah saguhati.

Tempat pertama dimenangi oleh Encik Adib Lokman, 27 dan beliau menerima hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM10,000. Menariknya lagi, rekaan logo Adib akan digunakan sepanjang sambutan Jubli Emas UDA. Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Encik Abdul Wahid Mat Arop, 35 dan Encik Hooi Kim Seong, 26. Masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000. Manakala 7 penerima hadiah saguhati menerima RM1,000 setiap seorang.
YB Dato’ Jalaluddin Alias, Pengerusi UDA berkata, “Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan UDA berbesar hati menerima penyertaan ribuan rakyat Malaysia yang kreatif menterjemahkan idea masing-masing dalam bentuk rekaan logo. Sebelum ini, UDA telah membuat hebahan menerusi televisyen, akhbar, portal berita dan media sosial berkenaan pertandingan tersebut.
“Semoga sambutan Jubli Emas UDA ini dapat menjadi landasan bagi orang ramai untuk lebih memahami fungsi UDA dan sejarah pembangunan UDA khususnya dalam membangunkan kawasan bandar,” kata beliau.
Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50 ini adalah pembuka tirai bagi sambutan Jubli Emas UDA dan pelbagai aktiviti serta program akan dijalankan sepanjang tahun. UDA turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam melakar sejarah bersama UDA.
UDA yang dulu dikenali sebagai Urban Development Authority atau Perbadanan Pembangunan Bandar telah diwujudkan pada 12 November 1971 bagi merancang kemajuan bandar dari aspek komersial dan perumahan. Kini, UDA beroperasi sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (Ministry of Finance Incorporated) dan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dalam tempoh 50 tahun, UDA telah mencapai kejayaan yang membanggakan dan berjaya melakar serta membangun landskap bandar Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Terengganu. UDA juga dalam usaha melebarkan sayap perniagaan ke Sabah dan Sarawak untuk terus berkembang dan mewarnai pembangunan bandar di seluruh Malaysia, seterusnya membantu lebih ramai rakyat Malaysia khususnya dalam pemilikan hartanah.
UDA akan tetap fokus dan komited untuk 50 tahun akan datang dengan menekankan prinsip utama dalam setiap cabang perniagaan iaitu, memperkasa gaya hidup lestari.