Pembelian Kenderaan Rasmi Baharu Untuk Jimatkan Kos Selenggara – SUK Terengganu
KUALA TERENGGANU — Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal menjelaskan bahawa pembelian kenderaan utiliti sukan (SUV) adalah satu prosedur biasa bagi menggantikan kenderaan rasmi kerajaan negeri yang sudah lama, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, pembelian kenderaan itu adalah suatu keperluan bagi menjimatkan kos penyelenggaran kenderaan rasmi kerajaan.
Tambahan lagi, beliau berkata pembelian itu tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Penggunaan kenderaan rasmi milik kerajaan terlalu tinggi sekali gus menyebabkan kos penyelenggaraannya membebankan.
“Setakat ini semua kenderaan baharu seperti mana yang tular itu belum diagihkan. Jadi pembelian kenderaan baharu tersebut tidak perlu dipolitikkan kerana diluluskan menerusi bajet pentadbiran kerajaan negeri pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) semalam.
Jelasnya lagi, pembelian kenderaan rasmi baharu itu adalah di bawah peruntukan yang diluluskan kerajaan selepas dibentangkan pada pembentangan Bajet 2022 lalu. Jadi, ia tidak menyalahi peraturan.
Tidak cuma itu, Jabatan Perhutanan negeri juga menerima kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan mereka selepas pembelian berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Jadi pembelian itu tidak pula dipersoalkan oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin politik kerana ia memang prosedur biasa dalam menggantikan kenderaan yang sudah uzur dan lama,” katanya lagi.
Sebelum ini, Bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar memberitahu kerajaan negeri untuk segera menjelaskan mengenai pembelian SUV berkenaan, lapor Sinar Harian pada Selasa.
Ia selepas isu tersebut tular di media sosial didakwa bagi kegunaan Menteri dan barisan Exco.
Maklumnya, penjelasan perlu dilakukan bagi menjernihkan keadaan iaitu sama ada pembelian itu adalah keperluan mendesak yang menjadi keutamaan buat masa ini.
Sumber: Sinar Harian