amputasi terawal dunia di indonesia
Kredit: BBC/ Tim Maloney

Pembedahan Amputasi Terawal Dunia Didakwa Dilakukan Di Gua Indonesia – Penyelidik

Nurhanis

Amputasi iaitu proses pembuangan sebahagian anggota badan semasa pembedahan akibat penyakit atau kecederaan teruk yang terawal di dunia dikatakan bermula di sebuah gua di Indonesia, dakwa penyelidik.

Seperti yang dilapor BBC, dakwaan itu dinyatakan selepas penemuan satu rangka manusia berusia 31,000 tahun tertimbus di dalam tanah di Gua Liang Tebo di Kalimantan Timur yang ditemui sekumpulan penyelidik dari Universiti Griffith, Australia baru-baru ini.

Difahamkan, penemuan rangka manusia yang tidak mempunyai tulang kaki kiri itu sekali gus ‘menolak’ kajian terdahulu yang menyatakan asal-usul pembedahan rumit tamadun manusia bermula pada 24,000 tahun dahulu.

Seorang penyelidik, Dr. Melandri Vlok yang bertugas memeriksa rangka itu berkata, pemotongan kaki yang berlaku agak jelas ‘membuktikan’ ia daripada pembedahan yang telah dilakukan ke atas individu itu (ketika hidup).

Dalam masa sama, seorang lagi penyelidik dari kumpulan sama, Dr. Tim Maloney berkata, beliau berasa teruja dan agak ‘ketakutan’ untuk mengeluarkan rangka tulang tersebut dari tanah.

“Kami berhati-hati ketika mengambil bahan bukti dan merekodkan separuh bahagian mayat.

“Kelihatan kaki belah kiri sudah tiada namun tulang yang ditinggalkan juga tampak luar biasa,” katanya kepada BBC.

Kredit: BBC / Tim Maloney

Dalam pada itu, menerusi butiran yang diterbitkan dalam jurnal Nature, ia mendedahkan bahawa pembedahan tersebut berlaku semasa individu berkenaan masih kanak-kanak.

Difahamkan, proses pertumbuhan dan penyembuhan menunjukkan kanak-kanak itu pulih dan hidup sehingga enam hingga sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada lewat remaja ataupun awal 20-an.

Dalam pada masa yang sama beliau berkata, pihaknya berasa teruja akan penemuan itu, termasuklah proses pembedahan yang menyebabkan amputasi berjalan.

Ahli arkeologi yang turut sama menemui rangka itu berkata, selepas prosedur pembedahan dilakukan, kanak-kanak itu dijaga dengan baik oleh komuniti purba (yang terlibat) selama bertahun-tahun sehingga hari kematiannya.

Periksa mayat mangsa

Sementara itu, pasukan penggalian kemudiannya meminta Dr. Vlok untuk memeriksa tulang mayat tersebut dan beliau berkata kejadian sebegitu amat perih disebabkan berlaku ke atas kanak-kanak.

“Dengan perjumpaan seperti ini, bercampur antara perasaan sedih dan gembira susulan melihat pembedahan itu berlaku ke atas manusia.

“Mangsa (kanak-kanak) ini telah mengalami kesakitan yang teruk walaupun ia berlaku pada 31,000 tahun yang lalu,” ujarnya yang membayangkan rasa sakit dialami kanak-kanak itu semasa dibedah dan dipotong kakinya.

Dr Maloney turut menerangkan mangsa telah menunjukkan tanda-tanda dijaga dengan sempurna melalui proses pemulihan yang dialami olehnya.

Dalam masa sama, pihak arkeologi juga yakin bahawa kejadian (ketiadaan kaki kiri) itu disebabkan oleh pembedahan yang dilakukan ke atasnya dan bukannya akibat sebarang jenis hukuman atau ritual.

“Untuk memastikan mereka tinggal di kawasan pergunungan (gua) ini, komuniti yang terlibat secara tidak langsung melabur dan memberikan penjagaan sempurna kepada mangsa (kanak-kanak),” katanya kepada BBC.

Kaji selidik mangsa

Ilustrasi hiasan | Kredit: Jose Garcia/Griffith University via BBC

Sementara itu, ahli arkeologi Universiti Durham, Prof. Charlotte Robertson yang terlibat dalam kaji selidik menjelaskan komuniti itu menolak pandangan bahawa perubatan dan pembedahan ‘datang lewat’ dalam sejarah manusia.

“Ia menunjukkan bahawa sikap mengambil berat merupakan sebahagian daripada hidup manusia.

“Kita tidak boleh memandang rendah kepada nenek moyang kita,” lapor BBC.

Ujarnya, proses amputasi memerlukan pengetahuan menyeluruh tentang anatomi manusia, kebersihan pembedahan dan kemahiran teknikal yang mencukupi.

“Pada waktu sekarang apabila berfikir mengenai amputasi dalam konteks Barat, ia merupakan pembedahan yang selamat.

“Namun pada 31,000 tahun dahulu, walaupun peralatan tidak cukup, seseorang telah melakukan pembedahan amputasi atas mayat dan (ia dikira) berjaya,” katanya.

Difahamkan, Dr. Maloney bersama rakan sekerjayanya kini sedang berusaha menyiasat peralatan pembedahan ke atas kanak-kanak tersebut yang digunakan pada waktu itu.

Seperti yang dilapor BBC, Gua Liang Tebo yang menempatkan kubur rangka mayat itu dikatakan merupakan lokasi purba yang memiliki beberapa seni batu antara terawal di dunia.

Sumber: BBC