
PASIR PUTEH, 19 Julai (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa itu selepas disaman kerana kesalahan lalu lintas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata kejadian berlaku ketika suspek yang berumur 27 tahun ditahan ketika menunggang motosikal menerusi Op Pematuhan di Bandar Pasir Puteh pada 8 pagi.
“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas mendapati suspek telah melakukan tiga kesalahan lalu lintas iaitu abai isyarat lalu lintas, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, anggota bertugas kemudiannya mengeluarkan saman atas kesalahan yang dilakukan suspek.
“Namun suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan saman oleh anggota bertugas bertindak mengeluarkan kata-kata kesat, anggota bertugas menerangkan kepada suspek akibat daripada kata-kata kesat yang dikeluarkannya tetapi tidak diendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zaizul Rizal berkata suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit kemudian telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bersama motosikal untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine namun tiada rekod kesalahan lampau.
“Satu kertas siasatan lain juga telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber: BERNAMA