
Pemandu Teksi Peroleh Durian Runtuh, Pelancong Baik Hati Bagi Tip Lebih RM5,000
Seorang pemandu teksi di Thailand tergamam ketika diberikan dua nota wang kertas bernilai 1,000 euro selepas dia berjaya menghantar penumpangnya tepat pada masanya, lapor The Thaiger.
Menurut pemandu teksi tersebut, penumpang warga asing itu berjanji kepadanya akan memberikan tip sebagai ganjaran jika dapat menghantarnya ke lapangan terbang tepat pada masanya.
Kisah menarik itu telah dikongsikan oleh pemandu teksi tersebut di laman kumpulan Facebook yang bernama Pemandu Teksi Thailand.
Satu nota kertas itu bernilai RM2,533 dan jika dijumlahkan kesemuanya menjadi lebih RM5,000.
Menurut lelaki itu, tambang perjalanan itu hanya bernilai 677 baht (RM88) dan disebabkan penumpang itu terdesak dia akhirnya memperolehi durian runtuh.
Dalam pada itu, pemandu teksi tersebut menjelaskan bahawa dia telah mengambil penumpang warga asing itu dari bandar raya ke Lapangan Terbang Don Mueang.
Bagaimanapun, kesilapan telah berlaku kerana penumpang itu sepatutnya dihantar ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi bukannya Lapangan Terbang Don Mueang.
Oleh yang demikian, penumpang tersebut akhirnya memberinya tempoh 30 minit untuk menghantarnya dari Don Mueang ke Suvarnabhumi.
Menurut laman berita Sanook, disebabkan permintaannya yang terdesak, dia seterusnya telah menjanjikan bayaran istimewa kepada pemandu teksi tersebut.
Dia menawarkan ganjaran istimewa kepadanya jika sampai ke lokasi yang dituju tepat pada masanya agar tidak terlepas penerbangan.
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
Susulan kejadian itu, pengguna media sosial tersebut kemudiannya mempersoalkan berkenaan ketulenan wang kertas tersebut.
Menurut seorang pengguna, wang kertas bernilai 500 euro jarang ditemui dan sudah tidak dikeluarkan sejak bertahun-tahun lamanya.
Pemandu itu bagaimanapun membalas komen tersebut dengan menyatakan bahawa wang kertas itu adalah tulen.
“Pada mulanya, saya tidak mahu menerimanya kerana ia sungguh asing bagi saya serta saya takut jika diri saya ditipu,” balas pemandu teksi tersebut.
Selain itu, pemandu teksi tersebut turut menunjukkan bukti bahawa dia berjaya mendapat sebanyak 37,600 Baht selepas menukar wang kertas tersebut.
Sumber: The Thaiger