pemandu rempuh unisza pesakit mental
Gambar: Gambar Tular

Pemandu Rempuh Penuntut UniSZA Disahkan Pesakit Mental – Polis 

Iqbal Yasir

Pemandu Rempuh Penuntut UniSZA Disahkan Pesakit Mental – Polis

KUALA TERENGGANU — Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disahkan mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, suspek disahkan menghidap Major Depression Disoder (MDD) serta mempunyai rekod rawatan sejak Januari 2025.

Tambah Azli, suspek mengalami kecederaan patah tangan kanan dan luka kecil di badan dan masih mendapatkan rawatan di HSNZ.

“Kenderaan dipandu suspek adalah milik adik sendiri dan bukannya kenderaan curi sepertimana yang dinyatakan di dalam media sosial

“Ia selepas semakan pemilik kenderaan telah dibuat melalui rekod pemilikan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sebelum kejadian, suspek sempat menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang parkir di Stadium Darul Iman Kuala Terengganu dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM200 milik pemilik kenderaan berkenaan.

“Suspek seterusnya masuk semula ke dalam Honda Jazz setelah melakukan perbuatan tersebut sebelum memecut kenderaan dipandu ke jalan raya sebelum berlaku kemalangan di Lampu Isyarat (JPJ) Jalan Kemajuan Kuala Terengganu sepertimana rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular,” maklumnya dalam kenyataan itu.

BACA: Pelajar UniSZA Maut Kereta Dirempuh

Tambahnya, suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai khususnya warganet, agar menghentikan sebarang bentuk spekulasi serta penyebaran maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian kemalangan yang berlaku.

“Seruan ini dibuat sebagai tanda menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa, di samping memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional demi memastikan keadilan sewajarnya dapat ditegakkan kepada mangsa yang terlibat,” maklum kenyataan itu lagi.

Pada Isnin, polis menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam lebih kurang 1.35 petang.

Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kenderaan Viva yang juga penuntut UniSZA, Allahyarhamah Syakirah Hanan Mazli meninggal dunia.

Sumber: Polis Daerah Kuala Terengganu