Pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang terlibat satu kemalangan ngeri sehingga mengakibatkan empat sekeluarga maut di simpang empang Kampung Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) didapati positif dadah jenis opiate, amphetamine dan methamphetamine.
Memetik laporan Utusan, pihak polis turut menjumpai tiub straw lutsinar pada pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai dadah jenis methamphetamine.
Dalam kejadian tersebut mengakibatkan empat orang maut iaitu penumpang Toyota Velfire, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd, Nazri, 14, Ahmad Muaz Mohd. Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri berusia empat tahun.
Suami mangsa yang juga pemandu Toyota Velfire, Mohd Nazri Hamid 43, merupakan guru di Gua Musang, Kelantan mengalami kecederaan dan patah tangan.
Manakala, pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, Toyota Vellfire terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri kahwin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vellfire terbabit telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat hijau dan mendapati kenderaan di sebelah kanan arah bertentangan telah berhenti di lorong kanan.
“Tiba-tiba Nissan Navara yang datang dari arah hadapan (dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat merah) di lorong kiri terus melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire lalu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa dalam Toyota Vellfire mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya lagi, pemandu Nissan Navara yang mengalami kecederaan pada bahagian kepada dihantar ke Hospital Termeloh dan ujian awal air kencing di Hospital Bentong mendapati positif dadah jenis opiate, amphetamine dan methamphetamine.
Siasatan berhubung kejadian itu diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Utusan