Pemandu kenderaan jenis Myvi yang tular kerana memandu secara melawan arus di Lebuhraya Mex pada 4 September 2021 yang lalu dilaporkan mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 42(1)1987 APJ kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Sarifudin Bin Mohd Salleh berkata, pemandu tersebut bakal berdepan dengan hukuman penjara serta denda hasil daripada pertuduhan tersebut.
“Pemandu kenderaan motokar tersebut telah mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama 3 hari dan denda RM 8,000, sekiranya gagal untuk membayar denda akan dipenjara selama 6 bulan.
“Hukuman ke atas kesalahan yang telah dilakukan telah diendorskan ke lesen pemandu dan pemandu telah hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun dari tarikh sabitan,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video kenderaan jenis Myvi kelabu yang dipandu oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai agen insuran secara melawan arus dari arah Tol Mex menghala ke pusat bandar.
Sumber: JSPT KL