pemandu lori samseng
Gambar video tular via Sinar

Pemandu Lori Tunjuk Lagak Samseng Positif Tiga Jenis Dadah

Faiz Mustafa

Serdang – Pemandu lori yang ditahan polis gara-gara tunjuk lagak samseng di Lebuhraya Bukit Jalil seperti yang tular baru-baru ini didapati positif tiga jenis dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, lelaki berusia 40-an itu didapati positif dadah jenis methampetamin, ketamin dan amphetamine hasil ujian saringan air kencing.

Bagaimanapun menurutnya, hasil ujian saringan alkohol yang dijalani menunjukkan lelaki itu tidak berada dalam keadaan mabuk.

“Kita telah menjalankan SJR (sekatan jalan raya) itu pada jam 10 pagi, sejam kemudian seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang melalui sekatan itu mendakwa pemandu lori berkenaan disyaki telah mengganggu dan berselisih faham dengannya,” katanya dalam kenyataan, merujuk Sinar Harian.

Ketika kejadian, pemandu lori tersebut telah diarah untuk memberhentikan kenderaannya di bahu jalan bagi pemeriksaan lanjut.

“Namun lelaki itu, cuba meneruskan perjalanan dan enggan berhenti serta bercakap dengan nada suara yang tinggi.

“Akhirnya, kenderaan tersebut dapat diberhentikan setelah dipaksa, pemandunya telah ditahan untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 78 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam masa sama, pemandu Peroda Axia tersebut diminta tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang perilaku jenayah oleh pemandu lori terbabit.

“Kita juga memohon pemilik ‘dashcam’ yang merakam kejadian untuk tampil membantu untuk memberi keterangan,” jelasnya lagi.

Sumber: Sinar