Gambar Hiasan

Pemandu Lori Maut Di Tempat Kejadian Di Kluang

Edayu

KLUANG, Seorang lelaki maut setelah lori yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Abduh Ismail berkata, lelaki warganegara India itu dikenali sebagai Madheswaran Raju, 24, yang beralamat di Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur.

Siasatan awal menunjukkan bahawa lori yang dipandu mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan merempuh tembok serta terbalik di longkang, tepi jalan. Lokasi kejadian adalah jalan simpang tiga, jalan kering dan bertar serta mempunyai garisan putus-putus.

“Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri, sementara bahagian atasnya remuk teruk. Mangsa mengalami kecederaan agak parah di bahagian muka dan kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Abduh lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

“Lori mangsa kemudian dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan kes kemalangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

BERNAMA