Seorang pemandu Perodua Bezza dikesan memandu dalam keadaan lawan arus serta turut merempuh motosikal seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal jenis Honda Dash tersebut menunggang motosikalnya dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra.
“Apabila sampai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung 12 Lebuhraya SKVE (arah Pulau Indah ke Bandar Saujana Putra) sedang dia bergerak lurus tiba-tiba terlihat Perodua Bezza yang berhenti di lorong kecemasan menyebabkan motosikal itu terus memberhentikan kenderaannya di harapan Perodua Bezza.
“Tiba-tiba motokar jenis Perodua Bezza itu bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian harapan motosikal jenis Honda Dash itu sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan dan kaki dan tangan.
“Selepas perlanggaran tersebut, Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan dan apabila sampai di KM 30.1 Lebuhraya SKVE menyebabkan dia telah melanggar motosikal jenis Yamaha LC 135 yang sedang bergerak dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra.
“(Kejadian itu menyebabkan) mangsa tercampak di permukaan jalan dan mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Difahamkan, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat disaran menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuala Langat, Inspektor Mazrol Mohd Din menerusi talian 011-18539115 atau 03-31872222.
BACA JUGA: Pandu Lawan Arus, Lelaki Didakwa Bunuh Dua Remaja
Sumber: FB Polis Kuala Langat