tangkap halibut berusia 90 tahun
Gambar: BNPS via Daily Mail

Pemancing Berjaya Tangkap Halibut Gergasi, Dianggarkan Berusia 90 Tahun

Iqbal Yasir

Seorang pemancing berjaya menangkap ikan jenis halibut (turut dipanggil ikan sebelah) yang dianggarkan berusia antara 70 hingga 90 tahun di Kepulauan Lofoten, utara Norway baru-baru ini, lapor Daily Mail.

Pengurus Sportquest Holidays, Paul Steven berusia 45 tahun terhuyung-hayang sewaktu memegang ikan berkenaan yang berukuran lebih dua meter dan berat sekitar 181 kilogram, menyamai seekor beruang hitam Amerika.

Disebabkan terlalu berat untuk dibawa naik ke atas kapal, pemancing yang berpangkalan di Norway itu mengambil gambar bersama hasil tangkapannya di laut sebelum melepaskannya kembali.

tangkap halibut berusia 90 tahun
Gambar: BNPS via Daily Mail

Menurut Paul, dia yang menganjurkan lawatan memancing untuk pemancing British menjelaskan bahawa bahunya perlu mengambil masa selama tiga hari untuk pulih sepenuhnya selepas ‘bertarung’ dengan ikan gergasi itu.

Tambah Paul, dia menghabiskan banyak tahun dalam memancing ikan-ikan di lautan sebelum berjaya menangkap ikan gergasi seperti itu dan baginya, ia sangat bermakna.

Paul juga menjelaskan bahawa dia menggunakan ikan arang yang mati sebagai umpan untuk menangkap ikan itu di kepulauan tersebut.

Pertarungan itu mengambil masa selama 20 minit dalam keadaan ikan halibut itu menyelam sebanyak tiga kali dan menarik bot kira-kira hampir satu kilometer.

tangkap halibut berusia 90 tahun
Gambar: BNPS via Daily Mail

“Ia boleh mengambil masa selama dua jam. Tak mungkin anda boleh menimbang ikan sebesar itu namun terdapat formula universal bagi mengambil ukuran dan beratnya seperti yang saya lakukan.

“Saya melepaskannya semula kerana untuk pembiakan. Ikan yang bersaiz gergasi itu mungkin berusia antara 70 hingga 90 tahun,” kata Paul.

Difahamkan, penangkapan ikan itu telah memecahkan rekod sebagai ikan halibut yang terbesar pernah ditangkap oleh seorang pemancing Britain walaupun ia masih jauh dengan rekod dunia yang pernah ditangkap.

tangkap halibut berusia 90 tahun
Gambar: BNPS via Daily Mail

Atlantic Halibut

Atlantic halibut atau nama saintifiknya Hippoglossus hippoglossus dalam bahasa Latin merupakan antara ikan bertulang besar di dunia.

Ia tinggal di habitat asal yang berasal di Atlantik utara iaitu dari Greenland ke Laut Barents seperti Teluk Biscay. Ikan halibut boleh mencapai sehingga 4.5 meter panjang (15 kaki ) dan berat mencapai 317 kilogram.

Kebiasaannya, halibut juga memakan ikan lain termasuk ikan kod, haddock dan herring walaupun sering diburu oleh anjing laut dan jerung Greenland.

Untuk makluman, ikan halibut terbesar pernah ditangkap ialah pada tahun 2013 dengan berat mencapai 232 kilogram oleh pemancing Jerman, Marco Liebenow.

Sumber: Daily Mail