
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan di ruangan tertutup sekolah bermula 1 Mei ini.
“Seperti mana yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, selaras dengan apa yang telah diumumkan semalam, pelitup muka wajib dipakai ketika berada di ruangan tertutup dalam premis sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Maknanya kalau kawasan tertutup di sekolah, sama ada di dalam bilik darjah atau di dalam pusat sumber atau perpustakaan atau di mana-mana tempat di dalam institusi yang merupakan tempat yang tertutup, maka pelitup muka adalah diwajibkan,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya terdapat beberapa pengecualian kepada pemakaian pelitup muka ini iaitu jika mereka berada bersendirian, guru yang mengajar di hadapan kelas dan semasa aktiviti sukan dan rekreasi termasuk aktiviti pendidikan jasmani.
Tidak cuma itu, pengecualian juga diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah, individu berkeperluan khas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan tetapi perlu mengemukakan laporan perubatan.
Tambahnya lagi, pelawat juga tidak perlu mengimbas kod MySejahtera di sekolah.
Menerusi sidang media yang diadakan pada petang ini, beliau juga berkata penjarakan fizikal di dalam kelas juga dimansuhkan.
Sumber: Bernama