MILAN, 10 Dis – Lagenda yang pernah membantu Itali menjuarai Piala Dunia 1982, Paolo Rossi telah meninggal dunia pada usia 64 tahun.
Berita tersebut diumumkan penyampai RAI Sport, Enrico Varriale dalam satu kenyataan dan isterinya melalui ciapan di Twitter, memetik laporan Football Italia hari ini.
Bagaimanapun punca kematiannya tidak dinyatakan dalam mana-mana media setakat ini.
Mengimbas kembali, Piala Dunia 1982 menjadi tahun cemerlang buatnya selepas berjaya membantu Itali dengan hatrick 3-0 menewaskan Brazil ketika suku akhir, diikuti dua golnya untuk 2-0 menumpaskan Poland ketika separuh akhir sebelum mencapai kemenangan dramatik 3-1 ke atas Jerman Barat pada peringkat akhir.
Atas kejayaan tersebut, Paolo dianugerahkan trofi Kasut Emas sebagai Penjaring Terbanyak bagi Piala Dunia 1982, selain turut memenangi anugerah Ballon d’Or sebagai ‘European Player of the Year’ pada tahun yang sama.
Itali menjuarai Piala Dunia 1982 | Gambar: Bob Thomas Sports PhotographySelain itu, Paolo pernah beraksi di posisi penyerang semasa membintangi beberapa pasukan Liga Itali seperti Juventus, Como, Vicenza, Perugia, AC Milan dan Hellas Verona.
Untuk rekod, Paolo berjaya menjaringkan sebanyak 20 gol dalam 48 penampilan bersama skuad kebangsaan Itali, selain 103 gol dalam 251 penampilan bersama kelab-kelab yang pernah disertainya.
Itali kini kehilangan salah seorang pemain terbaiknya, beberapa hari selepas pemergian lagenda ‘tangan tuhan’ Argentina, Diego Maradona yang meninggal dunia pada 25 Nov lalu akibat komplikasi jantung.
Sumber: Football Italia, Daily Mail